Translate

Wednesday, May 5, 2021

Penguat kuasa maritim Vietnam didakwa cuba ganggu tugas APMM

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) cuba diganggu pihak berkuasa maritim Vietnam, Vietnam Fisheries Resources Surveillance dan Vietnam Coast Guard pada Jumaat lalu.

Provokasi itu berlaku ketika Kapal Maritim (KM) Gemia sedang cuba menahan tiga bot nelayan Vietnam yang disyaki mencerobohi perairan negara pada kedudukan antara 119 dan 120 batu nautika timur laut Kuala Terengganu dekat sini.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, tiga kapal milik Vietnam Fisheries Resources Surveillance dan Vietnam Coast Guard tersebut memasuki perairan negara dan cuba menghalang KM Gemia daripada menahan ketiga-tiga bot nelayan asing berkenaan.

“Kapal penguat kuasa maritim Vietnam itu telah merapati tiga bot nelayan negaranya selain membayangi KM Gemia bagi menghalang tugas penguatkuasaan.

“Mereka juga meminta agar KM Gemia agar melepaskan bot-bot nelayan Vietnam yang telah memasuki Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara tetapi permintaan itu tidak dilayan dengan tegas,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, sebaliknya, tiga bot Vietnam Fisheries Resources Surveillance dan Vietnam Coast Guard itu telah diminta untuk beredar dari perairan negara.

Tambah beliau, ketegasan APMM membuatkan tiga aset Vietnam akur lalu beredar keluar dari perairan negara tidak lama kemudian. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment