Translate

Wednesday, May 26, 2021

Tiada solat Jumaat di Besut sepanjang PKPD

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Solat Jumaat dan solat Jenazah tidak dibenarkan dilaksanakan di dalam masjid dan surau di seluruh Besut sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di daerah itu sehingga 4 Jun depan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, sepanjang tempoh PKPD berkenaan, ahli kariah masjid di Besut perlu menggantikan solat Jumaat dengan solat fardu zuhur di rumah masing-masing.

“Dalam tempoh sama, solat jenazah juga hanya boleh dilakukan di rumah atau premis persendirian melibatkan maksimum 20 orang merangkumi pegawai masjid dan ahli keluarga terdekat.

“Upacara pengebumian juga tidak boleh melibatkan lebih 20 orang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Osman berkata, Maidam juga menetapkan hanya lima orang terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid dan surau di Besut dibenarkan mendirikan solat fardu berjemaah sepanjang tempoh PKPD.

Tambah beliau, laungan azan di masjid dan surau sebagai makluman waktu solat kepada ahli kariah di daerah itu dibenar namun aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan lain adalah dilarang.

“Semua ketetapan ini mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Baginda amat mengambil berat dan menzahirkan kebimbangan akan peningkatan kes positif jangkitan harian Covid-19 di daerah Besut.

“Baginda juga berdoa agar kita semua diberi kekuatan untuk menghadapi situasi getir ini dan berharap rakyat jelata khususnya di kawasan terlibat dengan PKPD mematuhi setiap arahan dikeluarkan pihak berkuasa,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment