Translate

Monday, March 15, 2021

UniSZA, Nahrim jalin penyelidikan isu banjir, hakisan pantai

 KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjalin kerjasama strategik dengan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim) bagi menjalankan penyelidikan berkaitan isu banjir dan hakisan pantai yang serius di Terengganu. 

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, UniSZA telah berjaya mengawal banjir kilat yang membelenggu kawasan kampusnya di Gong Badak di sini sekian lama menerusi projek tebatan banjir beberapa tahun lalu. 

“Begitupun ia (banjir kilat) masih berlaku di kawasan luar kawalan UniSZA seperti pusat bandar raya Kuala Terengganu (baru-baru ini). 

“Kedua, masalah hakisan yang bukan sahaja sedang menghakis kawasan pantai, malah penempatan penduduk di negeri ini perlu juga diberi perhatian,” katanya di sini kelmarin.

 Beliau berkata demikian selepas Memorandum Persefahaman antara Nahrim dan UniSZA berhubung projek penyelidikan berkaitan air. 

Hassan Basri berkata, UniSZA dan Universiti Malaysia Terengganu akan mendapatkan kepakaran Nahrim untuk mencari solusi terbaik terhadap kedua-dua permasalahan tersebut. 

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu kerjasama antara UniSZA dan Nahrim turut melibatkan program komuniti seperti program Denai Sungai Kebangsaan di Kalang Warisan, Kuala Terengganu. 

“Program Denai Sungai Kebangsaan merupakan kolaborasi kepakaran UniSZA dan Nahrim dalam bidang alam sekitar, pelancongan, reka bentuk industri dan produk, sains sosial, sukan serta rekreasi untuk manfaat masyarakat setempat. 

“Ia selaras dengan pendekatan UniSZA yang sentiasa turun padang mengenal pasti masalah komuniti dan mencari penyelesaiannya demi survival mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment