Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Sembilan mangsa di Marang dekat sini masih tidak dapat pulang ke rumah berikutan rumah mereka masih digenangi ‘banjir termenung’.
Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, walaupun banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu sejak Rabu lalu makin pulih, namun hanya daerah Marang masih merekodkan mangsa.
Che Adam berkata, mangsa banjir di negeri ini hanya tinggal sembilan orang yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang, Marang.
“Mereka terdiri daripada tujuh dewasa dan dua kanakkanak perempuan daripada empat keluarga. “Mangsa tersebut masih belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kerana fenomena ‘banjir termenung’,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Jelas beliau, fenomena itu disebabkan air bah yang menenggelami rumah penduduk sedalam hampir 0.7 meter masih tidak dapat mengalir keluar ke sungai kerana paras sungai yang tinggi.
Sementara itu, di Pasir Mas, Kelantan, seramai 37 orang mangsa banjir daripada lapan buah keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, Rantau Panjang, meskipun keadaan cuaca di kawasan tersebut sudah semakin baik.
Rata-rata mangsa itu dari Kampung Tok Deh yang masih ditenggelami air banjir ekoran limpahan air daripada Sungai Golok.
Menurut laman sesawang infobanjir.water.gov.my paras air Sungai Golok menurun berbanding beberapa hari lalu yang berada pada paras bahaya.
Setakat pukul 4 petang semalam, paras air sungai itu masih berada di paras amaran iaitu 8.53 meter.
Bagaimanapun, mengikut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, ribut petir bakal berlaku di satu dua tempat di kawasan pedalaman pada petang dan tiada sebarang hujan pada waktu malam sehari dua ini.
No comments:
Post a Comment