Translate

Friday, March 12, 2021

Kemarau bakal landa Terengganu

 KUALA NERUS – Semenanjung Malaysia khususnya Terengganu diramal akan menghadapi kemarau panjang yang dikhuatiri boleh menjejaskan bekalan air bersih kepada jutaan pengguna dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi.

 Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim), Datuk Dr. Nasir Mohd. Noh berkata, berdasarkan kajian agensinya bersama Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) baru-baru ini, kemarau disebabkan fenomena El Nino berkenaan diunjur akan berlaku antara tahun 2025 dan 2030. 

Beliau berkata, dapatan tersebut diperoleh mengikut data dibangunkan Nahrim dan Mampu bagi meramal suhu, hujan dan kepanasan seluruh negara sehingga tahun 2100. 

“Fenomena El Nino dan perubahan meteorologi iklim pada masa itu akan menyebabkan kemarau berpanjangan di Semenanjung Malaysia antara tahun 2025 hingga 2030.

 “Terengganu diunjur menerima kemarau lebih ekstrem berbanding tempat-tempat lain seperti di Johor yang dijangka berpanjangan sehingga enam bulan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

 Terdahulu beliau bertukar dokumen memorandum persefahaman berhubung projek penyelidikan berkaitan air antara Nahrim dengan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.

 Menurut Mohd. Nasir, unjuran kemarau panjang tersebut selari dengan laporan penilaian yang dibuat Panel Antara Kerajaan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebelum ini. 

“Nahrim telah memaklumkan kemungkinan tersebut kepada Kementerian Air dan Alam Sekitar dan syarikat-syarikat pengendali air.

 “Ia bagi membolehkan persediaan awal dilakukan seperti kisah Nabi Yusof (menghadapi kemarau dan banjir di Mesir seperti diceritakan dalam al-Quran),” katanya.

 Mohd. Nasir menjelaskan antara cadangan Nahrim ialah membina kolam takungan dan empangan baharu serta penggunaan air bawah tanah mengikut kesesuaian bagi menghadapi kemarau berkenaan.

No comments:

Post a Comment