HULU TERENGGANU – Dua lagi wanita yang merupakan adikberadik tampil membuat laporan polis mendakwa mereka dicabul oleh seorang pengamal perubatan Islam yang sebelum ini telah ditahan atas dakwaan sama pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, dua mangsa yang berusia 25 dan 22 tahun itu mendakwa dicabul suspek kira-kira dua tahun lalu.
Beliau berkata, mangsa pertama berusia 25 tahun membuat laporan polis setelah terbaca berita berhubung suspek didakwa mencabul seorang jurujual wanita.
“Berdasarkan keterangan wanita itu yang juga merupakan jurujual, modus operandi suspek sama iaitu mendakwa mangsa terkena buatan orang sebelum mencabul.
“Suspek dikatakan menyentuh kedua-dua alat sulit mangsa pertama itu dan adiknya semasa rawatan dilakukan,” katanya di sini semalam.
Katanya, kedua-dua perbuatan tersebut didakwa dilakukan di sebuah premis di Kuala Berang di sini pada pukul 2 petang, 9 September 2018.
“Wanita berusia 25 tahun tersebut pernah bersama ibunya berjumpa dengan pengurusan pusat rawatan Islam itu yang terletak di Kuala Berang untuk memastikan suspek benar-benar merupakan pengamal perubatan Islam.
“Kejadian cabul tersebut didiamkan sahaja sebaik suspek yang juga seorang peniaga disahkan sebagai salah seorang perawat di pusat perubatan terbabit,” katanya.
Ujarnya, mangsa hanya mempunyai kekuatan untuk membuat laporan polis selepas teringat peristiwa hitam itu apabila membaca berita penahanan suspek pada pukul 1 tengah hari, Isnin lalu.
Kosmo! Online pada 6 Disember lalu melaporkan, seorang pengamal perubatan Islam berusia 52 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes cabul seorang jurujual wanita yang juga pesakitnya pada pukul 8.30 malam, 22 November lalu.
No comments:
Post a Comment