Translate

Sunday, March 21, 2021

Kemasukan semula pekerja ladang kelapa sawit asing dipertimbangkan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) sedang mempertimbangkan permohonan pemain industri sektor perladangan bagi membenarkan semula kemasukan pekerja asing mengisi keperluan kritikal terhadap pekerja ladang kelapa sawit.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, sektor perladangan kelapa sawit domestik memerlukan lagi sekurang-kurangnya 32,000 pengait buah kelapa sawit di seluruh negara.

“Sekiranya kita boleh mengambil lagi 32,000 pekerja ladang tersebut, kita diunjurkan boleh menjana lebihan pendapatan sekurang-kurang RM5 bilion lagi pada tahun ini.

“Kempen untuk menggalakkan warga tempatan mengisi kekosongan itu sebelum ini mendapat sambutan kurang menggembirakan walaupun dengan tawaran gaji sehingga RM3,00 sebulan dan pelbagai insentif menarik lain,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni peniaga Pasar Batu Enam di sini hari ini.

Persatuan Kelapa Sawit Malaysia (MPOA) mengunjurkan sektor kelapa sawit negara mampu menjana perolehan RM35 bilion pada tahun ini dengan harga minyak sawit mentah (MSM) semasa mencecah tahap tertinggi iaitu RM4,247.50 setan.

Mohd. Khairuddin berkata, KPPK sedang berbincang secara mendalam dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Sumber Manusia berhubung permohonan kelonggaran kemasukan semula pekerja asing ke dalam sektor perladangan kelapa sawit berkenaan.

Jelasnya, secara dasarnya pemain sektor perladangan kelapa sawit perlu memberi jaminan mampu mengawal penularan Covid-19 secara maksimum dan mematuhi syarat perumahan pekerja ditetapkan terlebih dahulu sebelum kelonggaran boleh diberikan. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment