Translate

Tuesday, March 2, 2021

Tali gantung balasan dera anak

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kematian seorang gadis akibat didera ahli keluarga sendiri sehingga kurus kering pada April 2016 akhirnya terbela apabila bapa dan ibu tirinya dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Hakim Datuk Zainal Azman Abd. Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Anuar Yusof, 55, dan isterinya, Murni Ahmad, 40, selepas pihak pembelaan gagal menyangkal kes prima facie yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, mahkamah melepaskan dan membebaskan dua anak tertuduh iaitu Siti Sarah, 26, dan Amir Sharif, 19, daripada pertuduhan membunuh mangsa iaitu kakak mereka, Siti Hajar yang berusia 22 tahun ketika kejadian.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa membunuh Siti Hajar di sebuah rumah di Batu 5, Jalan Air Putih, Taman Semarak, Binjai, Cukai di sini pukul 10.45 malam, 26 April 2016.


Keempat-empat beranak itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Masliela Ismail.

Kosmo! pada 3 Mei 2016 melaporkan, punca kematian Siti Hajar yang memiliki berat badan cuma 18 kilogram seperti tidak cukup makan akhirnya terbongkar apabila mangsa dipercayai meninggal dunia akibat didera keluarganya sendiri.

Laporan bedah siasat menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat jangkitan kuman selain sebahagian besar tubuhnya mempunyai kesan gigitan manusia.

Sebelum punca sebenar kematiannya terbongkar, Anuar yang juga seorang mekanik memaklumkan kematian anak sulungnya, Siti Hajar disebabkan demam panas.

Ketika kejadian, Siti Hajar yang tidak bekerja tinggal bersama bapa dan ibu tirinya, manakala ibu kandung mangsa pula difahamkan menetap di Pulau Pinang.

Begitupun, polis mengesyaki sesuatu tidak kena apabila mayat gadis itu dikesan mempunyai kesan gigitan manusia selain kesan kecederaan lain termasuk lebam pada bahagian mata.

Kecurigaan itu menyebabkan pihak polis meminta bedah siasat dijalankan terhadap mangsa di Unit Forensik Hospital Kemaman yang kemudiannya mengesahkan kematian Siti Hajar disebabkan jangkitan kuman akibat kebuluran.


Jenazah gadis berkenaan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kemaman pada 30 April 2016.

Susulan itu, bapa dan ibu tiri Siti Hajar serta dua beradik mangsa ditahan di rumah mereka pada 1 Mei 2016 bagi membantu siasatan kes berkenaan.

No comments:

Post a Comment