Translate

Tuesday, March 23, 2021

UniSZA lancar nombor pendaftaran khas kenderaan

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melancarkan nombor pendaftaran khas kenderaan, ‘UniSZA’ yang boleh dibida mulai hari ini.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, berkata, sesi pertama bidaan tersebut dibuka sehingga Jumaat ini.

“Kita juga telah mendapat kelulusan Kementerian Pengangkutan untuk menggunakan tulisan UniSZA mengikut rekabentuk sambutan 40 tahun penubuhan universiti ini.

“Perkhidmatan mencetak nombor pendaftaran kenderaan dengan rekabentuk khas berkenaan menggunakan teknologi laser akan disediakan Fakulti Rekabentuk Inovatif dan Teknologi UniSZA,” katanya melancarkan Nombor Pendaftaran Khas UniSZA tersebut di Gong Badak di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Pusat Penjanaan Pendapatan, Pelaburan dan Jaringan Industri (P4P) UniSZA, Prof Dr. Ahmad Shukri Yazid.

Hassan Basri berkata, penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas tersebut bertujuan menjana dana untuk pendapatan universiti.

Sementara itu, Ahmad Shukri berkata, bidaan nombor pendaftaran kenderaan khas UniSZA berkenaan ditawarkan dalam empat kategori iaitu Bernilai Utama, Menarik, Popular dan Semasa.

Ujar beliau, pihaknya menyasarkan penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas itu kepada kakitangan, pelajar, orang awam alumni sejak era Kolej Ugama Zainal Abidin (Kusza).

“Pembida nombor pendaftaran kenderaan UniSZA juga berpeluang memenangi cabutan bertuah,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment