Translate

Wednesday, March 10, 2021

Pengetua ditahan disyaki cabul, ganggu seksual

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Seorang pengetua sebuah sekolah menengah di daerah ini ditahan bagi membantu siasatan dakwaan mencabul dan melakukan gangguan seksual terhadap kakitangan wanitanya.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, lelaki berusia 52 tahun itu ditahan di rumahnya di Kuala Nerus pada pukul 11 malam kelmarin.

“Setakat ini, polis menerima empat aduan daripada empat kakitangan dan pekerja kontrak kebersihan sekolah berkenaan berhubung perbuatan tidak bermoral itu pada semalam dan kelmarin.

“Berdasarkan laporan itu, mereka mendakwa suspek telah mengganggu mereka dengan menghantar mesej berunsur lucah menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, sebahagian mangsa-mangsa juga mendakwa dicabul secara fizikal oleh suspek di dalam kawasan sekolah.

Menurut beliau, suspek didakwa melakukan perbuatan berkenaan berlaku dari awal Januari hingga hujung bulan lalu.

“Lelaki tersebut ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 akta sama,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment