Translate

Sunday, March 14, 2021

Sanggup datang dari jauh kerana ketagih judi laga ayam

 MARANG – Sekumpulan lelaki sanggup menempuh perjalanan berjam-jam lamanya semata-mata untuk melepaskan gian bermain judi laga ayam di sebuah premis di Kampung Pak Madah di sini kelmarin.

 Bagaimanapun, keseronokan itu tidak berpanjangan apabila mereka dicekup sepasukan anggota polis ketika sedang asyik menyabung ayam. 

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, kesemua sembilan suspek yang berusia antara 24 hingga 53 tahun itu ditahan pukul 7.30 pagi.

 Katanya, serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapat aduan daripada orang awam mengenai aktiviti penjudian laga ayam di premis terbabit.

 “Pemeriksaan mendapati, sebahagian lelaki terbabit sanggup datang dari daerah lain seperti Setiu, Dungun dan Kuala Terengganu ke daerah ini semata-mata untuk berjudi laga ayam,” katanya di sini semalam.

 Mohd. Zain berkata, siasatan awal juga percaya aktiviti perjudian tersebut didalangi oleh seorang lelaki berusia 35 tahun yang juga menetap di premis berkenaan.

 Ujarnya, serbuan berjaya me rampas bahan bukti seperti lapan ekor ayam jantan, tujuh sangkar ayam, lapan unit sarung taji, segulung getah dan wang tunai berjumlah RM100.

 Kes itu disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

No comments:

Post a Comment