Translate

Monday, March 22, 2021

Tipu tuntutan RM600, bekas Pengurus Besar PPNT didenda RM5,000

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hanya kerana mengemukakan dokumen palsu membuat tuntutan pembelian ikan kerapu hibrid bernilai RM600 pada lima tahun lalu, bekas Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Jamaludin Mat memerintahkan hukuman demikian terhadap Che Sa’adon Che Yahya, 57, selepas pihak pembelaan gagal menyangkal kes prima facie dikemukakan pihak pendakwaan.

Berdasarkan pertuduhan, Che Sa’adon didakwa mengemukakan butiran palsu mengenai pembelian ikan kerapu hibrid bernilai RM600.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat PPNT pada September 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shafini Mustafha manakala tertuduh pula diwakili peguam, Muhammad Zulfaqar Al-Basyar Sharuddin..

Kosmo! 27 Februari 2019 melaporkan tertuduh yang kini bertugas di PPN Kelantan turut dihadapkan atas dua pertuduhan lain
salah guna kuasa berhubung pembekalan penjantan dan induk berbiri bagi projek berbiri Fasa 2 berjumlah RM303,546 di Kampung Pelam, Hulu Terengganu. – K! ONLINE.

No comments:

Post a Comment