Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kembali ‘bernyawa’ selepas menjadi tumpuan pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan bas ekspres selepas kerajaan memberi kebenaran merentas negeri bermula 7 Disember lalu.
Sebelum ini hentian yang terletak di tengah-tengah bandar raya itu agak sepi terutama apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Lembah Klang pada 14 Oktober lalu.
Kebenaran merentas negeri itu memberi kelegaan kepada pengusaha bas ekspres yang sebelum ini mengalami kemerosotan mendadak pelanggan berikutan penularan Covid-19.
Wakil Darul Iman Ekspres, Mohd. Huzaidi Husin berkata, secara purata setiap perjalanan bas ekspres kendalian syarikatnya menerima peningkatan hampir 50 peratus penumpang.
“Sambutan lebih baik dengan setiap trip akan dipenuhi hampir 40 penumpang berbanding kurang 20 orang sewaktu larangan merentas negeri dikuatkuasakan.
“Destinasi popular yang mendapat permintaan tinggi ialah Terminal Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Hentian Bas MBKT di sini kelmarin.
Mohd. Huzaidi berkata, walaupun tidak serancak seperti sebelum penularan pandemik Covid-19 pada awal tahun ini, perkembangan positif tersebut sudah cukup melegakan pengusaha-pengusaha bas ekspres.
Ujarnya, ia membolehkan syarikat meningkatkan trip kepada sekurang-kurangnya tiga kali sehari.
“Memang masih jauh untuk menyamai sambutan sebelum Covid-19. Jika dahulu, setiap 25 pemandu bas ekspres kami dapat sekurangkurangnya 15 trip sebulan, kini tinggal maksimum empat dalam tempoh sama.
“Masih ramai pengguna ragu-ragu untuk menggunakan perkhidmatan bas ekspres sedangkan kita telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk melakukan sanitasi,” jelasnya.
Sementara itu, seorang penumpang, Samsiah Musa, 39, dari Batu Enam, Kuala Nerus bersyukur dapat pulang ke kampung di Felda Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan bersama lapan ahli keluarganya.
“Saya akui takut dengan penularan Covid-19 tetapi yakin dengan pengusaha bas ekspres selain kami turut patuh dengan SOP.
“Kami pulang ke kampung untuk bertemu ahli keluarga setelah kehilangan bapa bulan lalu. Perkhidmatan bas ekspres pengangkutan paling murah untuk kami lapan beranak,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment