Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA NERUS – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) memohon campur tangan Majlis Raja-Raja bagi meredakan kegelisahan umat Islam negara ini berhubung isu penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam.
Pengarah Kanan Sektor Latihan dan Pengkaderan Yadim, Shamsuddin Moner berkata, pihaknya secara dasar akur dan
menghormati keputusan mahkamah pada Rabu lalu berhubung isu tersebut.
Begitupun, beliau tetap gusar sekiranya ia disalah guna untuk tujuan tidak sepatutnya oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Allah itu esa, kalau kalimah itu diguna untuk menyatakan tuhan itu banyak maka bercanggahlah dengan Islam.
“Kita rasa sewajarnya Majlis Raja-Raja dapat memberi titah nasihat untuk meredakan keadaan agar semua pihak menghormati kalimah Allah seperti sepatutnya,” katanya selepas menyampaikan bantuan Covid-19 kepada pekerja pembersihan sekitar Kuala Nerus di sini hari ini.
Shamsuddin berkata, Yadim juga berharap kerajaan agar segera mengemukakan rayuan berhubung penghakiman isu kalimah Allah
tersebut di Mahkamah Rayuan.
Akhbar tempatan Khamis lalu melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment