DUNGUN – Hampir 4,000 penduduk di empat perkampungan di sekitar Paka diselubungi kebimbangan akibat ancaman babi hutan sejak empat bulan lalu.
Populasi babi hutan dari hutan berhampiran dikatakan meningkat mendadak dianggarkan mencecah 50 ekor dan sudah semakin berani keluar berkeliaran mengganggu penduduk Kampung Pinang Merah, Kampung Tebing Tembah, Kampung Gong Beting dan Kampung Nyior, Paka dekat sini.
Seorang penduduk Kampung Gong Beting, Hanafi Shafie, 49, berkata, banyak haiwan ternakan penduduk seperti ayam, angsa, itik dan anak kambing dimakan babi hutan berkenaan.
“Biasanya babi hutan ini akan menceroboh kandang dan reban haiwan ternakan penduduk selepas waktu Maghrib.
“Haiwan liar itu sama ada robohkan pagar dawai atau korek tanah untuk masuk ke dalam kandang. Kerugian kami sudah mencecah ribuan ringgit,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Seorang penduduk Kampung Pinang Merah, Mohd. Ariff Sidek, 38, pula berkata, kumpulan babi hutan juga sering mengotorkan laman rumah penduduk dengan membawa sampah-sarap.
“Saya terpaksa menyertu halaman rumah lebih tiga kali seminggu sebab sering dicerobohi babi hutan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Gong Beting, Mohd. Almi Omar berkata, tindakan bersepadu yang lebih agresif diperlukan untuk menangani isu ancaman babi hutan tersebut.
“Bukan tiada tindakan tetapi koloni babi hutan ini semakin lama semakin banyak kerana cepat membiak sehingga tidak mampu lagi ditangani di peringkat MPKK.
“Kami berharap pihak berkuasa dapat membantu kami melupuskan babi hutan yang begitu banyak kerana selain mengancam haiwan ternakan, ia juga boleh mengancam nyawa penduduk apabila keluar secara tiba-tiba dari hutan ketika kami sedang menaiki motosikal atau kereta,” katanya.
No comments:
Post a Comment