Translate

Sunday, March 28, 2021

Enam pemancing dikhuatiri hilang di perairan Kemaman

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Enam lelaki dikhuatiri hilang selepas bot nelayan dinaiki mereka untuk memancing di perairan Kemaman dekat sini sejak kelmarin tidak pulang semula ke jeti mengikut jadual hari ini.

Bot nelayan kelas A dinaiki kesemua lelaki tersebut termasuk seorang tekong bot berusia dalam lingkungan 19 hingga 29 tahun itu dikatakan berada pada kedudukan 35 batu nautika dari tenggara Kuala Kemaman dekat sini sebelum dilaporkan gagal dikesan.

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, Maritim Malaysia (APMM) telah menerima maklumat berhubung kehilangan bot nelayan itu pada pukul 8.50 malam semalam.

“Bot nelayan yang dinaiki lima pemancing dan seorang tekong tersebut dikhuatiri mengalami kerosakan berikutan cuaca buruk di tengah laut ekoran perubahan monsun pada waktu ini.

“Operasi mencari dan menyelamat telah diaktifkan oleh Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim Kuantan, Pahang,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Muhammad Sufi berkata, dua aset APMM iaitu Kapal Maritim (KM) Gemia dan KM Pekan telah digerakkan untuk mengesan bot dinaiki kelima-lima mangsa berkenaan.

Ujar beliau, operasi mencari dan menyelamat telah diperluaskan dalam lingkungan 20 hingga 30 batu nautika dari pantai Kemaman di sini.

“Anggota Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman turut membantu APMM untuk mengesan kedudukan bot tersebut.

“APMM menasihatkan orang ramai yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment