Translate

Saturday, March 27, 2021

Maut kereta bertembung dengan Perodua Myvi

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya cedera parah selepas kereta Proton Wira yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta Perodua Myvi di Jalan Bukit Tayor berhampiran Sekolah Kebangsaan Bukit Nenas, Sungai Tong di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 2.45 petang itu, Abdullah Ibrahim, 65, yang bekerja sendiri meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, isteri mangsa, Zabedah Salleh, 61, pula cedera parah di bahagian tangan manakala pemandu kereta Perodua Myvi, Hasri Nawi, 31, cedera ringan di bahagian kaki.

Beliau berkata, sewaktu kejadian, kereta Proton Wira dinaiki pasangan isteri warga emas, Abdullah dan Zabedah dikatakan menuju ke pekan Sungai Tong dari arah Kuala Berang, Hulu Terengganu.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki mereka dikatakan bertembung secara berhadapan dengan kereta Perodua Myvi dipandu Hasri yang juga seorang pemandu lori.

“Impak daripada kemalangan tersebut menyebabkan mangsa, Abdullah meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Afandi berkata, mayat Abdullah yang tersepit di dalam keretanya yang remuk teruk telah dikeluarkan oleh sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang.

Beliau berkata, mayat lelaki itu telah dihantar ke Hospital Setiu di sini untuk dibedah siasatan manakala Zabedah dan Hasri yang cedera dirawat di unit kecemasan hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment