KUALA NERUS – Terengganu akan mengharamkan sepenuhnya penjualan telur penyu di negeri ini menjelang akhir tahun ini sebagai komitmen memastikan kelestarian reptilia hampir pupus itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, bagi tujuan itu, Enakmen Penyu Terengganu 1951 (Pindaan 1987) akan dipinda pada masa terdekat.
“Kita sedar Terengganu satu-satunya negeri yang masih membenarkan penjualan telur penyu di negara ini.
“Sebelum ini, larangan hanya melibatkan telur penyu belimbing tetapi spesies lain (agar, lipas dan karah) dibenarkan menyebabkan ia dijual secara terbuka termasuk di Pasar Payang, Kuala Terengganu,” katanya pada program Pemuliharaan Penyu di Pantai Mak Kepit, Pulau Redang dekat sini hari ini.
Azman berkata, selain larangan sepenuhnya penjualan telur penyu, penguatkuasaan bagi mengatasi isu pencerobohan dan gangguan sarang penyu di negeri ini juga akan diperketatkan.
Jelas beliau, pindaan enakmen tersebut akan dibentangkan sekiranya Sidang Dewan Undangan Negeri boleh dilakukan pada bulan November ini.
“Sepanjang tempoh peralihan itu, peniaga Pasar Payang dinasihatkan agar mengurangkan penjualan telur penyu secara beransur-ansur manakala pengguna pula disaran boleh mula berhenti membelinya,” katanya. – K! ONLINE.
No comments:
Post a Comment