KUALA TERENGGANU – Salah seekor gajah yang dipercayai menceroboh Taman Pertanian Negeri Sekayu (TPNS), Hulu Terengganu baru-baru ini berjaya ditangkap pada Khamis lalu.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berkata, gajah dewasa betina berkenaan telah ditangkap sewaktu berkeliaran di Kampung Durian Bador, Kuala Berang yang terletak kira-kira 2.3 kilometer dari TPNS.
“Seramai enam anggota Perhilitan Terengganu daripada Unit Tangkap Gajah terlibat dalam operasi berkenaan.
“Penangkapan gajah tersebut diharap dapat melegakan kebimbangan penduduk di beberapa perkampungan sekitar sejak akhir-akhir ini,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Perhilitan berkata, gajah tersebut akan dilepaskan ke habitat asalnya di Taman Negara Terengganu, Hulu Terengganu pada masa terdekat.
Kosmo! 27 Februari lalu melaporkan lebih 117 pokok palma yang terdapat di TPNS telah musnah dirosakkan sekumpulan gajah sejak tahun lalu.
Kumpulan gajah berkenaan turut dipercayai merosakkan tanaman penduduk kampung berhampiran. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment