Oleh MOHD AZLI ADLAN
DUNGUN – Tiga sekawan berdepan detik cemas selepas mereka dikejar seekor beruang matahari di kawasan belukar berhampiran Kampung Tebing Tembah, Paka di sini pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, mereka bertiga bernasib baik selepas berjaya melarikan diri dalam keadaan lintang-pukang daripada diterkam binatang buas tersebut.
Seorang mangsa, Adnan Mamat, 37, berkata, sewaktu kejadian, dia dan dua rakannya sedang mencari daun dan pucuk muda sebagai makanan untuk kambing peliharaan mereka.
“Seekor beruang dewasa tiba-tiba muncul kira-kira 100 meter sahaja dari lokasi saya sedang mengutip daun tersebut.
“Tanpa fikir panjang, saya terus lari menyelamatkan diri. Beruang itu kemudiannya mengejar dua rakan saya yang berada berhampiran, namun nasib baik mereka juga berjaya melepaskan diri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
No comments:
Post a Comment