Translate

Monday, March 15, 2021

Tiang jambatan dihiasi lukisan mural

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Terengganu bakal mempunyai tarikan pelancongan terbaharu menerusi empat lukisan mural yang menghiasi empat tiang di Jambatan Sultan Mahmud di sini. 

Lukisan mural tersebut merupakan inisiatif Duyong Art Gallery dan mendapat sokongan padu daripada Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. 

Pengarah projek, Nik Mohd. Hazuwal Nik Lah berkata, projek yang turut mendapat kerjasama Jabatan Kerja Raya itu bertujuan mengindahkan tiang Jambatan Sultan Mahmud yang merentas Sungai Terengganu.

 “Empat tiang yang dipilih dikenal pasti sebagai laluan utama bot pelancongan yang menawarkan pakej menelusuri muara Sungai Terengganu.

 “Harapan kita agar lukisan mural berkenaan menjadi pemangkin untuk menarik orang kembali menggunakan perkhidmatan bot penambang Seberang Takir,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Nik Mohd. Hazuwal berkata, empat lukisan mural yang bercirikan seni budaya dan alam sekitar Terengganu telah dipilih untuk menghiasi tiang jambatan berkenaan. 

Jelas beliau, lukisan tersebut memaparkan imej bot penambang, imej budak memegang replika perahu, landskap hutan bakau dan ketam nipah serta pengiat ukiran kayu.

 “Projek ini dijayakan empat pelukis mural berpengalaman iaitu Hatta Hashim, Taib Abdul Razak, Mohammad Fakrul Syahiran Rosadura, Zulkarnain Abdul Latif dan kartunis Kamal Nawie atau nama sebenarnya, Isma Ali Ahmad. 

“Antara yang menarik ialah mural hutan bakau dan ketam batu yang dijayakan Hatta bercirikan tiga dimensi,” katanya. 

Nik Mohd. Hazuwal berkata, pihaknya berharap lukisan mural yang menghiasi tiang Jambatan Sultan Mahmud itu dapat menjadi tarikan terbaharu pelancong di Terengganu.

No comments:

Post a Comment