Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan YATIMIN ABDULLAH
KEMAMAN – Kedukaan 614 mangsa banjir yang terpaksa menumpang di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok di sini sejak enam hari lalu terubat apabila disantuni Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hampir sejam semalam.
Dalam kunjungan itu, Perdana Menteri yang diiringi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menerima taklimat perkembangan banjir dan cadangan pembinaan tebatan banjir bagi mengatasi bencana tersebut di negeri ini.
Muhyiddin juga menyerahkan pek makanan kepada mangsa-mangsa banjir berkenaan.
Seorang mangsa banjir, Ismail Isa, 56, yang berkerusi roda setelah diserang strok sejak tiga tahun lalu dari Kampung Tanjung di sini berkata, Perdana Menteri menasihatkannya agar menjaga kesihatan dan mendoakannya agar segera sembuh.
“Perdana Menteri pesan agar saya sentiasa rajin makan ubat dan menjaga diri baik-baik,” katanya kepada Kosmo! di PPS SK Bukit Mentok di sini semalam.
Di Rantau Panjang, Perdana Menteri meluangkan masa hampir satu jam melawat mangsa banjir di PPS SK Gual Tinggi, Rantau Panjang semalam.
Muhyiddin tiba di PPS berkenaan pukul 10 pagi dengan menaiki helikopter dan disambut oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Pengarah Agensi Bencana Negara, Datuk Dr. Aminuddin Hassim.
Dalam lawatan itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan berupa kit makanan kepada mangsa banjir.
Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri berharap permohonan dana sebanyak RM1.5 bilion untuk projek tebatan banjir di Rantau Panjang dapat diluluskan Kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Jika projek ini tidak dilaksanakan, Rantau Panjang akan menerima limpahan air Sungai Golok yang kemudian masuk ke kawasan sekitar sekali gus menyebabkan banjir setiap tahun,” ujarnya.
Setakat pukul 6 petang semalam, jumlah mangsa banjir di Kelantan tinggal 911 orang di Pasir Mas, manakala di Terengganu seramai 826 orang di Dungun serta Kemaman.
No comments:
Post a Comment