Translate

Saturday, March 13, 2021

Angka banjir mangsa banjir hampiri 10,000

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN, NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN dan ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

PETALING JAYA - Mangsa banjir di Pantai Timur terus meningkat menghampiri angka 10,000 orang melibatkan 2,439 keluarga setakat pukul 8 malam tadi.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Terengganu merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 8,189 mangsa yang ditempatkan di 51 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan empat daerah di Kemaman, Hulu Terengganu, Dungun dan Setiu.

Kelantan pula merekodkan seramai 1,357 mangsa banjir yang melibatkan sebanyak 482 keluarga di daerah iaitu Pasir Mas, Tanah Merah dan Kuala Krai.

Di Pahang pula, sebanyak dua PPS dibuka bagi menempatkan 38 mangsa daripada enam buah keluarga di dearah Kuantan dan Jerantut.

Jumlah kesemua mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di tiga negeri tersebut adalah seramai 9,584 orang.

Di Kuala Terengganu, Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, Kemaman merupakan daerah paling teruk dan mangsa yang terjejas telah dipindahkan sejak malam kelmarin.

"Mereka ditempatkan di sebanyak 51 PPS yang dibuka di seluruh Kemaman," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kejadian banjir itu dikatakan berpunca daripada fenomena air pasang dan hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di negeri itu sejak kelmarin.

Di Kemaman, Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik menasihatkan pengguna kenderaan supaya menggunakan laluan alternatif sekiranya jalan utama ditenggelami air.

"Kalau sudah nampak jalan (di hadapan) tenggelam, jangan sesekali cuba untuk redah kerana ia boleh membahayakan nyawa," katanya selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di sini semalam.

Roslee turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak membiarkan anak mereka bermain air tanpa pengawasan.

"Kadang-kadang nampak cetek tetapi tidak nampak paras sebenar sebab air keruh. Mungkin ada longkang yang boleh menyebabkan risiko lemas," kata beliau.

Di Jerantut, seramai 13 mangsa daripada dua buah keluarga di daerah ini dipindahkan ke PPS selepas rumah mereka telah dinaiki air semalam.

Empat jalan turut ditutup kepada semua kenderaan manakala satu jalan ditutup kepada kenderaan ringan selepas dinaiki air malam kelmarin.

Dalam pada itu, di Kuantan, penduduk di daerah berisiko banjir di negeri ini perlu berwaspada apabila paras air di sungai utama mencecah tahap amaran.

Stesen amaran banjir di Sungai Tembeling dan Sungai Yap di Jerantut mencatat bacaan 66.38 meter (m) dan 51.91 m. Air Sungai Pahang, Temerloh mencatat tahap waspada iaitu 29.68 m.

No comments:

Post a Comment