Translate

Friday, March 5, 2021

Risau kedai runtuh dihakis ombak

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA NERUS – Hakisan pantai yang semakin serius merisaukan kira-kira enam peniaga restoran dan gerai popular di Pantai Tok Jembal berhampiran Kampung Kubang Badak di sini. 

Dalam kejadian terbaharu pada pukul 9 malam Khamis lalu, sebahagian jalan raya yang menghubungkan deretan restoran tersebut telah runtuh disebabkan oleh hakisan itu. 

Seorang peniaga, Salwani Ahmad, 44, berkata, restoran CUiPata yang diusahakannya sejak empat tahun lalu terletak hanya kira-kira 10 meter dari kawasan hakisan tersebut.

“Ini kejadian hakisan paling teruk dalam tempoh empat tahun saya berniaga di kawasan ini. Bimbang bakal merebak hingga ke restoran saya. 

“Ia juga menyebabkan kehadiran pelanggan ke restoran saya menjual mi champa merosot lebih 70 peratus sejak semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam. 

Pantai Tok Jembal adalah antara lokasi popular pengunjung termasuk pelancong menjamu selera dengan latar belakang panorama pantai indah di Terengganu. 

Salwani berkata, premis bersebelahan restorannya yang menjual ikan celup tepung sudah tidak dapat beroperasi sejak kelmarin atas nasihat pihak berkuasa kerana terletak berhadapan dengan lokasi tanah runtuh berkenaan. 

Sementara itu, seorang peniaga lain, Sahifulddin Man, 55, yang membuka gerai ikan segar berkata, hakisan tersebut disebabkan oleh fenomena air pasang besar yang melanda perairan Terengganu sejak Rabu lalu. 

“Walaupun benteng penahan ombak telah dibina di pantai ini, ia masih tidak mampu menahan amukan ombak besar yang setinggi hampir tiga meter.

 “Gerai ikan saya terletak satu meter dari tanah runtuh berkenaan. Ikhtiar saya meletakkan batu-batu besar di tepi pantai dengan kos sendiri sebanyak RM2,000 dua minggu lalu juga gagal mengatasi masalah hakisan itu,” katanya. 

Sahifulddin memberitahu su dah lebih tiga hari dia tidak menjual ikan yang merupakan sumber pendapatannya kerana bimbangkan keselamatan diri. 

Sehubungan itu, beliau memohon pihak berkuasa mengambil tindakan segera sebelum hakisan semakin memburuk.

No comments:

Post a Comment