Translate

Thursday, March 18, 2021

Ujian saringan 25 pemancing Tasik Kenyir negatif

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Ujian saringan terhadap 25 pemancing termasuk seorang disyaki kontak rapat yang menaiki sebuah rumah bot di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu semalam didapati negatif.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, ia berdasarkan keputusan ujian calitan pertama
ke atas kesemua individu terbabit yang diumumkan hari ini.

“Begitupun, mereka masih diwajibkan menjalani perintah kuarantin di rumah masing-masing bagi tempoh 10 hari.

“Kesemua individu itu juga perlu menjalani ujian calitan kedua pada hari kelapan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ariffin berkata, rumah bot berkenaan juga telah disanitasi bagi tujuan pencegahan pada semalam.

Dalam perkembangan sama, beliau menasihat pelancong yang berkunjung di lokasi pelancongan di Terengganu agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu.

“Kita sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelancong bagi merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat tetapi berharap mereka dapat mematuhi SOP, ” katanya.

Kosmo! hari ini melaporkan keseronokan 25 pemancing yang sedang beriadah di Tasik Kenyir sejak Khamis lalu terencat apabila salah seorang daripada mereka disyaki sebagai kontak rapat pesakit Covid-19.

Lelaki berkenaan telah diarahkan untuk menjalani saringan Covid-19 oleh Jabatan Kesihatan Terengganu pada pukul 5 petang, kelmarin manakala baki 24 individu lain dikurantin sementara di rumah bot berkenaan.

Begitupun, kesemua mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing di Manir, Kuala Terengganu bagi tujuan kuarantin wajib. – K! ONLINE.

No comments:

Post a Comment