Translate

Tuesday, February 26, 2019

Wira Darul Iman terima sijil penghargaan khas PDRM

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Enam lelaki yang baru dinobatkan sebagai Wira Darul Iman pada Jumaat lalu menerima penghargaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, penghargaan tersebut sebagai mengiktiraf sumbangan mereka termasuk Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd. yang menyelamatkan sekeluarga terperangkap di dalam kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Storm di Sungai Terengganu pada 8 Februari lalu.

Beliau berkata, lima individu lain yang turut menerima sijil penghargaan khas PDRM tersebut ialah Saiful Anuar Mohd, 37; Muhammad Asadullah Jamaluddin, 37; Mohd. Amirol Hafizol Zukafli, 29; Omar Abdul Aziz Othman, 27, dan Mohd. Shahrul Mizan Harun, 33.

"Keenam-enam mereka telah memberanikan diri dengan mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan mangsa dan malangnya salah seorang daripada mereka telah meninggal dunia (akibat lemas).

"Hari ini sebagai menghargai jasa dan keberanian mereka, kesemua Wira Darul Iman ini dianugerahi dengan surat penghargaan khas PDRM," katanya selepas menyerahkan surat penghargaan tersebut pada Perhimpunan Bulan Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini.

Selain lima Wira Darul Iman terbabit, surat penghargaan untuk Abdul Bari yang meninggal dunia akibat lemas dalam insiden tersebut diterima bapanya, Mohd. Mustafa, 66. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment