MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) mengekalkan rekod bersih kemenangan apabila menewaskan Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) 3 - 0 pada aksi kelapan Liga Hoki Wanita Malaysia (MWHL) di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu sebentar tadi.
Tuan rumah yang juga pendahulu liga membuka tirai gol menerusi jaringan padang Auni Athika Ghani pada minit ke-9.
Nur Syuhafa Suhaimi kemudiannya menambah gol kedua TLHT pada lima minit kemudian.
Kapten pasukan TLHT, Siti Noor Amarina Ruhani pula mensia-siakan peluang untuk menambah jurang gol apabila tolakan pukulan sudut penalti diambilnya pada minit ke-31 tersasar di sebelah kiri gawang SSTMI.
Penjaga gol SSTMI, Arlia Shazriq Ishafari terus cemerlang menangkis tiga lagi pukulan sudut penalti yang kesemua diambil pakar flick TLHT, Jaspreet Kaur pada minit ke-31, 38 dan 45.
Begitu pun Jaspreet akhirnya dapat menebus kehampaan apabila meledak pada pukulan sudut penalti keempat diambilnya menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-53. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment