DUNGUN – Seorang pelancong warga Pakistan dikhuatiri lemas selepas hilang ketika beriadah bersama tiga rakan senegaranya di Pantai Petak, Paka dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 1.30 tengah hari itu, Muhammad Bilal Muhammad Akram, 24, (gambar kecil) hanyut dibawa ombak besar sewaktu mahu mengambil bola milik mereka yang tercampak di tengah laut.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Bilal yang baru berkunjung ke negara ini sejak Ahad lalu sedang mandi-manda di pantai berkenaan bersama tiga rakan senegaranya yang bekerja di sekitar Kerteh, Kemaman.
“Mereka bermain bola di tepi pantai sebelum bola itu tiba-tiba tercampak jauh ke tengah laut dan mangsa yang berasal dari Lahore, Pakistan cuba mengambilnya.
“Begitupun, sewaktu mangsa sedang berenang ke tengah laut, dia tiba-tiba dibawa ombak besar hingga hanyut lebih jauh,” katanya kepada pemberita semalam.
Baharudin berkata, dua rakannya cuba membantu tetapi gagal kerana ombak terlalu besar sehingga memaksa mereka kembali ke tepi pantai untuk menyelamatkan diri.
Menurut beliau, insiden itu dilaporkan kepada pihak berkuasa pada pukul 2.30 petang kelmarin sebelum pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada anggota pelbagai agensi ditubuhkan.
“Operasi pencarian masih diteruskan untuk hari kedua hari ini (semalam) dan ia diperluaskan sehingga radius tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya.
No comments:
Post a Comment