Translate

Friday, February 22, 2019

Produk inovasi UMT diiktiraf

KUALA TERENGGANU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima pingat emas menerusi produk inovasi, papan lapis daripada batang pokok kelapa sawit pada Pameran Harta Intelek Antarabangsa, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (Ipitex) yang diadakan di Bangkok, Thailand kelmarin.

Pengiktirafan tersebut membolehkan penyelidiknya, Prof. Dr. Che Mohd. Ruzaidi Ghazali me­nerima anugerah berkenaan daripada panel penilai pertandingan inovasi peringkat Asia terbabit.

Che Mohd. Ruzaidi  yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT berkata, produk berasaskan kelapa sawit ini bukan sahaja mesra alam malah berkualiti.

“Sehubungan itu, panel penilai berpendapat ia berpotensi tinggi sebagai pengganti terbaik kepada bahan asas produk lain berasaskan kayu di pasaran,” katanya melalui satu kenyataan semalam.

Katanya, projek tersebut juga turut menerima anugerah sijil kecemerlangan daripada Sibiu University, Romania pada program sama.

Ipitex yang diadakan selama tiga hari bermula Isnin lalu telah menarik penyertaan 1,000 produk ciptaan baharu daripada 20,000 penyelidik dan saintis dari seluruh Asia.

No comments:

Post a Comment