SEMANGAT juang pemain Terengganu Football Club I (TFC I) yang enggan menyerah kalah biarpun ketinggalan sehingga minit ke-89 pada aksi dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) malam kelmarin mendapat pujian pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim.
Aksi pembuka tirai Liga Super 2019 yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu berakhir dengan kedua-dua pasukan mencatat seri 1-1.
PKNS terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah yang juga naib juara Piala Malaysia menerusi jaringan pemain pertahanan import, Nicholas Ryan Swirad pada minit ke-65 sebelum penyerang gantian, Abdul Malik Mat Ariff menyelamatkan maruah TFC I pada minit-minit terakhir perlawanan.
Irfan Bakti berkata, keputusan seri tersebut mengulangi pencapaian yang sama pada aksi pembuka tirai musim lalu yang juga secara kebetulannya menentang PKNS.
“Bezanya malam ini (kelmarin) tempo permainan TFC I lebih positif cuma nasib tidak menyebelahi kita untuk meraih tiga mata.
“Anak buah saya lebih menguasai perlawanan dengan tujuh percubaan tepat berbanding pasukan pelawat cuma dua pada sepanjang aksi ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.
Irfan Bakti berkata, ketiadaan arkitek TFC I, Lee Andrew Tuck yang terpaksa diketepikan pada saat-saat akhir kerana kecederaan sedikit sebanyak telah menjejaskan tempo serangan pasukannya.
Begitu pun, jurulatih berpengalaman itu tetap memuji kesungguhan dan komitmen dipamerkan pemain import baharu, Sanjar Shaakhmedov untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Lee Tuck.
“Memang Sanjar sedikit perlahan berbanding Lee Tuck tetapi dia telah banyak menggerakkan serangan dalam perlawanan sulungnya bersama pasukan.
“Dalam beberapa situasi, saya lihat Sanjar berpeluang cerah untuk meledak gol jika lebih selfish (tamak) tetapi dia ‘baik hati’ menghantar bola pula kepada rakan sepasukan sekali gus membuatkan perancangannya terencat,” katanya.
No comments:
Post a Comment