Translate

Thursday, February 28, 2019

Ugut tikam, bunuh bapa sendiri

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang tukang gunting dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah mahu membunuh ba­panya dipercayai selepas ditegur kerana menghabiskan ke­ropok lekor pada minggu lalu.

Tertuduh, Wan Adib Fawwaz Wan Mohd. Fauzi, 19, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Berdasarkan pertuduhan, Wan Adib Fawwaz didakwa mengacukan sebilah pisau kepada bapa­nya, Wan Mohd. Fauzi Wan Yusof, 46, sebelum mengugut mahu menikam lelaki itu. Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di rumah mereka di Kampung Tebauk di sini pada pukul 10 malam 20 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Abdul Hayyi membenarkan Wan Adib Fawwaz dibebaskan dengan wang jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes itu pada 5 Mac depan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Asri Abu Hashim, manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Difahamkan tertuduh telah naik berang selepas ditegur kerana menghabiskan keropok lekor yang menjadi kudapan lewat malam tanpa menghiraukan ahli keluarga lain.

Wan Abib Fawwaz dikatakan telah mengambil sebilah pisau yang terdapat di dalam sebuah bilik di rumah mereka sebelum mengacukannya kepada ba­panya.

Dia kemudian didakwa me­ngugut mahu menikam mang­sa sebelum ia dileraikan ibunya. Remaja itu ditahan selepas kejadian tersebut dilaporkan Wan Mohd. Fauzi di balai polis berhampiran tidak lama selepas itu.

No comments:

Post a Comment