Oleh MOHD. AZLI ADLAN
PASUKAN Hoki Wanita Terengganu (TLHT) mengekalkan rekod kemenangan bersih apabila menewaskan Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) 3-0 pada aksi kelapan Liga Hoki Wanita Malaysia (MWHL) di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu semalam.
Tuan rumah yang juga pendahulu liga membuka tirai gol menerusi jaringan padang Auni Athika Ghani pada minit kesembilan, Nur Syuhafa Suhaimi kemudiannya menambah gol kedua TLHT lima minit kemudian.
Kapten pasukan TLHT, Siti Noor Amarina Ruhani pula mensia-siakan peluang untuk menambah jurang gol apabila tolakan pukulan sudut penalti yang diambilnya pada minit ke-31 tersasar di sebelah kiri gawang SSTMI.
Penjaga gol SSTMI, Arlia Shazriq Ishafari pula turut cemerlang menangkis tiga lagi pukulan sudut penalti yang kesemuanya diambil pakar flick TLHT, Jaspreet Kaur pada minit ke-31, 38 dan 45.
Begitu pun, Jaspreet akhirnya dapat menebus kehampaan apabila meledak gol menerusi pukulan sudut penalti keempat yang diambilnya, sekali gus menjadikan kedudukan 3-0 buat TLHT pada minit ke-53.
Sementara itu, jurulatih TLHT, Iman Gobinathan berkata, cuaca panas terik semalam dilihat mengganggu persembahan anak-anak buahnya pada aksi semalam.
“Apa pun saya masih berpuas hati kita masih mencapai kemenangan dan ini memberi kelebihan kepada kita untuk menghadapi dua perlawanan sukar menentang Blue Warriors dan PKS-Uniten selepas ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment