Translate

Monday, February 18, 2019

Ditemui selepas 30 jam hilang

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) peman­cing, Abdul Bari Asyraf Mohd. yang hilang ketika cuba menyelamatkan lima sekeluarga di Sungai Terengganu berhampiran Pulau Warisan di sini berakhir selepas mayat mangsa ditemui terapung semalam.

Mayat Abdul Bari, 31, dijumpai di muara sungai berhampiran Tanjung di sini oleh penduduk setempat pada pukul 7.24 pagi selepas lebih 30 jam operasi SAR dilancarkan oleh pasukan penyelamat.

Jarak lokasi mangsa hilang dan mayatnya ditemui ialah kira-kira 2.5 kilometer (km).

Timbalan Pengarah Ja­batan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Sharikan Bustaman ber­kata, penemuan itu dimaklumkan oleh penduduk kepada pasukan SAR dan pengecaman telah dibuat oleh ahli keluarga sebaik mayat Abdul Bari dibawa naik pada pukul 7.50 pagi.

“Kami sepakat untuk membantu menguruskan jenazah Abdul Bari kerana pengorbanan dan niat murni arwah yang sanggup menggadai nyawa demi untuk menyelamatkan insan lain,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mayat Abdul Bari dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd. Mustafa, 66, memberitahu, dia sekeluarga bersyukur kera­na mayat anaknya ditemui dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk mereka yang membaca surah Yassin dan me­ngadakan  solat hajat bagi memudahkan pencarian.

“Sebagai ayah, saya sememangnya sedih dengan kehilangan Abdul Bari, namun saya berbangga kerana dia ‘pergi’ semasa melakukan kerja mulia ia­itu membantu insan dalam kecemasan,” katanya.
Jenazah Abdul Bari selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Patah di sini selepas solat zuhur.

Kosmo! semalam me­laporkan seorang peman­cing dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan lima sekeluarga yang terperangkap di dalam kende­raan jenis Mitsubishi Storm yang terjunam ke dalam Sungai Terengganu berhampiran Pulau Wa­risan.

Dalam kejadian pada pukul 9.40 malam itu, lima beranak yang menaiki pikap itu berjaya diselamatkan oleh  pemancing lain namun Abdul Bari dilaporkan hilang selepas tidak pulang semula ke tebing sungai tersebut.

No comments:

Post a Comment