Translate

Thursday, February 7, 2019

Pembantu rumah bot kelar tangan sebelum lari masuk hutan

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Seorang pembantu rumah bot berkelakuan pelik mengelar tangannya sendiri sebelum melarikan diri ke dalam hutan berhampiran kawasan Air Terjun Lasir, Tasik Kenyir dekat sini semalam.

Perlakuan lelaki berusia 21 tahun yang berasal dari Kampung Temir, Kuala Berang dekat sini pada pukul 4 petang itu telah menggemparkan penghuni rumah bot lain yang ketika itu sedang berehat di kawasan air terjun terkenal di Tasik Kenyir terbabit.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud (Gambar kecil) berkata, sewaktu kejadian, rumah bot yang membawa pelancong ke Tasik Kenyir sedang berhenti di kawasan berhampiran Air Terjun Lasir dekat sini.

"Lelaki itu dilihat mengelar salah satu tangannya dengan senjata tajam dipercayai pisau sebelum melompat keluar dari rumah bot berkenaan dan melarikan diri menuju ke dalam kawasan hutan berhampiran.

"Penghuni rumah bot yang lain termasuk pekerja rumah bot terbabit yang terkejut dengan kejadian cuba menjejaki lelaki itu di dalam hutan berkenaan tetapi gagal," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, salah seorang rakan sekerja lelaki itu kemudiannya menghubungi rakannya yang berada di Kampung Pauh, Kuala Berang dekat sini untuk memohon bantuan sebelum insiden itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa pada pukul 12.03 tengah malam.

Menurut beliau, pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada 23 anggota pelbagai agensi dengan kelengkapan empat bot telah ditubuhkan namun setakat ini usaha yang bermula pukul 8 pagi tadi untuk mencari pembantu rumah bot itu masih belum berhasil.


"Siasatan awal tidak menolak kemungkinan lelaki terbabit bertindak demikian kerana masalah rumah tangga dan berada dalam pengaruh dadah sewaktu kejadian," katanya. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment