Translate

Wednesday, February 13, 2019

Tengku Hazman nafi bersikap kurang profesional

KETUA Jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Tengku Hazman Raja Hassan menjelaskan beliau tidak bermaksud untuk bersikap kurang profesional berhubung isu panggilan pemain bagi menyertai skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara.

Katanya, kontroversi antara beliau dengan pe­ngendali skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee hanya salah faham akibat masalah komunikasi.

“Saya akui dihubungi pengurusan Harimau Malaya B-22 memohon kebenaran pelepasan pemain, Mohamad Ridzuan Mohd. Razali untuk melapor diri pada malam 10 Februari lalu (Ahad). Saya pada masa itu memaklumkan bahawa saya perlu berbincang dengan majikan (Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu) terlebih dahulu sebaik selesai sesi latihan pada petang semalam (kelmarin).

“Belum sempat saya memberi maklum balas, Datuk Ong Kim Swee sudah membuat kenyataan akhbar mendakwa saya tidak memberi kerjasama dan enggan melepaskan pemain. Ini kurang wajar kerana saya sudah memohon tempoh masa terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Tengku Hazman juga memberitahu, beliau tidak mengetahui dua panggilan daripada nombor tidak dikenali sewaktu sedang memandu ke padang latihan di Kuala Terengganu dari Kota Bharu kelmarin sebenarnya dibuat oleh penolong jurulatih Kim Swee.

Sehubungan itu, beliau berharap isu itu selesai dan mengharapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar dapat mengemas kini prosedur panggilan menyertai kem pasukan kebangsaan supaya lebih sistematik pada masa depan.

“Sebenarnya, saya memberi kerjasama dengan melepaskan seorang pemain TFC II iaitu Muhammad Izzan Shahmi Mustaffa untuk menyertai skuad B-22 negara sebelum panggilan tambahan melibatkan Mohamad Ridzuan dilakukan.

“Saya memohon maaf sekiranya terdapat kesilapan teknikal dan komunikasi sehingga membantutkan perancangan skuad kebangsaan, namun saya bersedia bukan sahaja Muhammad Ridzuan malah mana-mana pemain TFC II sekiranya diperlukan,” katanya.

Kosmo! semalam me­laporkan Kim Swee berang dengan sikap Tengku Hazman yang gagal memberikan respons dalam usa­ha untuk mendapatkan pemain TFC II menjelang Kejuaraan B-22 AFF 2019 di Kemboja minggu depan.

No comments:

Post a Comment