KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu menyerbu cawangan sebuah syarikat pengedar penapis air terkenal dari Korea Selatan kerana disyaki melanggar Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 baru-baru ini.
Serbuan premis di Dataran Austin, Kuala Nerus itu, dilakukan selepas mendapat aduan daripada tiga pengguna yang mendakwa diperdaya ejen syarikat jualan langsung berkenaan, empat bulan lalu.
Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, kesemua pengguna mendakwa ejen syarikat jualan langsung itu mengunjungi rumah mereka di Kelulut, Marang dengan menawarkan produk penapis air dan penapis udara yang kononnya percuma.
“Mereka mendakwa telah menyerahkan salinan Mykad dan kad debit bank selepas menerima produk yang dikatakan percuma itu. Bagaimanapun, kesemua mangsa tiba-tiba menerima surat pengingatan bank antara RM217 dan RM364 berhubung tunggakan pembayaran bulanan produk penapis air dan udara berkenaan.
“Mereka termasuk seorang yang mendakwa perlu melunaskan tunggakan bank walaupun tidak menerima produk penapis air itu telah membuat aduan kepada pihak kami pada 8 Januari lalu,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat KPDNHEP Terengganu di sini semalam.
Saharuddin berkata, penguat kuasa mendapati banyak kesalahan borang pesanan jualan selain butiran surat perjanjian pembelian produk yang tidak jelas.
“Kebanyakan borang pesanan berkenaan hanya mempunyai tandatangan pembeli tanpa penjual dan pengedar. Lima produk penapis air dan udara keluaran syarikat itu juga disyaki masih belum mendapat kebenaran jualan daripada KPDNHEP.
“Sembilan produk penapis air dan udara termasuk tiga di rumah pengadu berjumlah keseluruhan RM25,870 telah dirampas untuk membantu siasatan,” katanya.
No comments:
Post a Comment