Translate

Friday, February 15, 2019

Tchetche nekad tamatkan kemarau gol bertemu JDT

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

AYAM tambatan Terengganu Football Club I (TFC I), Kipre Tchetche berazam untuk menamatkan kemarau jaringan pada aksi ketiga Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Pemain kelahiran Ivory Coast itu berkata, dia sedar ketumpulan barisan serangan yang dikemudinya menjadi antara punca prestasi hambar TFC I pada dua aksi pembukaan Liga Super sebelum ini.

“Saya sedar sebagai pe­nyerang utama, tugas saya ialah meledak gol sebanyak mungkin untuk pasukan. Harapan tinggi ketua jurulatih (Irfan Bakti Abu Salim) dan peminat amat saya hargai”.

“Sehubungan itu, saya sedang bekerja keras untuk mengembalikan sentuhan selepas berehat hampir dua bulan akibat kecederaan sebelum ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Tchetche yang juga kapten pasukan TFC I berkata, dia tidak menjadikan kegagalannya menjaringkan gol setakat ini sebagai tekanan besar sebaliknya motivasi terbaik untuk memenuhi tanggungjawabnya kepada kelab terbabit.

Ujar pemain yang telah menjaringkan 24 gol pada musim lalu itu,  dia berke­yakinan tinggi terhadap kemampuan diri dan percaya bakal menemui sentuhan berbisanya semula pada masa terdekat.

Dalam pada itu, Tchetche berkata, walaupun sukar, TFC I tidak mempunyai pilihan selain menewaskan JDT pada pertemuan malam ini untuk kembali ke landasan sebenar.

“Tiga aksi awal Liga Super musim ini memang sukar tetapi kami telah mengambil pengajaran dan membaiki kelemahan daripada dua aksi sebelum ini sebagai persediaan bertembung dengan JDT,” katanya.

No comments:

Post a Comment