Translate

Wednesday, February 13, 2019

Penganggur rompak RM6 dihukum penjara 7 tahun

KUALA TERENGGANU – Gara-gara merompak wang tunai RM6 milik seorang buruh dipercayai untuk membeli dadah akhir bulan lalu, seorang penganggur dihukum penjara selama tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Wan Azimah Yaacob menjatuhkan hukuman itu selepas Che Ismail Mahmood, 25, dari Permaisuri, Setiu mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, Che Ismail didakwa merompak mangsa dengan mengambil wang tunai RM6 milik lelaki itu di Pengkalan Mat Ludin, Jalan Kampung Ulu Seladang, Setiu pada pukul 1 petang, 26 Januari lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh mendatangi mangsa yang ber­ada di lokasi kejadian sebelum mengacukan sebilah pisau ke arah lelaki itu.

Mangsa yang bimbang tentang keselamatannya telah menyerahkan wang tunai RM6 kepada Che Ismail.

Tertuduh kemudiannya me­rampas beg galas milik mangsa sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal.

Che Ismail didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam bela.

No comments:

Post a Comment