Translate

Monday, February 4, 2019

Rawat penagih dadah di luar negeri

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengambil pendekatan untuk me­nempatkan pelatih-pelatih di pusat pemulihan dadah yang terletak di luar negeri masing-masing sebagai inisiatif meningkatkan lagi keberkesanan rawatan.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, pelatih terbabit juga akan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan di lokasi berhampiran dengan Pusat Serenti serta Pusat Perkhidmatan Rawat dan Pulih selepas dibebaskan bagi menggalakkan mereka untuk terus bermastautin di negeri berkenaan.

Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan untuk mengurangkan stigma negatif masyarakat setempat terhadap bekas penagih dadah yang membebani mereka jika menetap di kampung halaman.

“Pelatih tidak akan dimasukkan ke pusat pemulihan di negeri sendiri. Mereka juga akan dibantu mencari pekerjaan untuk memulakan kehidupan di tempat baharu sebaik dibebaskan kelak.

“Ia sejajar dengan konsep hijrah dalam Islam bagi mencari kehidupan yang lebih baik. Kalau hendak pulang (ke kampung halaman), biar apabila sudah stabil nanti,” katanya pada majlis Malam Semurni Kasih Bersama Badan Bukan Kerajaan berkaitan pencegahan dadah di sini kelmarin.

Turut hadir Pengarah AADK Terengganu, Wan Jailani Wan Ismail.

Zulkifli berkata, selain stigma buruk masyarakat setempat, pengaruh rakan-rakan lama turut dibimbangi akan menyumbang kepada kegagalan proses pemulihan bekas pelatih pusat pemulihan dadah terbabit.

Selain itu, beliau memberitahu, AADK juga akan memberi pengelasan baharu kepada 57 pusat pemulihan dadah di seluruh negara agar pelatih dalam kalangan penagih baharu serta tegar dapat dipisahkan ke lokasi berbeza kerana pendekatan rawatan masing-masing adalah berlainan.

No comments:

Post a Comment