Translate

Friday, February 15, 2019

Pemancing hilang dalam sungai

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pemancing dikhua­tiri lemas ketika cuba menyelamatkan lima sekeluarga yang berada di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Storm yang terjunam ke­ dalam Sungai Terengganu berhampiran Pulau Warisan di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 9.40 malam itu, lima beranak yang menaiki Mitsubishi Storm tersebut berjaya diselamatkan beberapa pemancing lain, namun Abdul Bari Asyraf Mohd., 31, yang berasal dari Kampung Panji di sini didapati tidak berenang semula ke tebing sungai.

Ketua Cawangan Pe­ngurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Mazimi Mohamad berkata, kejadian berlaku selepas seorang wanita berusia 30-an mahu me­ngalihkan kende­raan pacuan empat rodanya yang diletakkan berhampiran tebing sungai di Pulau Warisan.

“Pemandu tersebut ti­dak menyedari gearnya berada dalam posisi me­ngundur menyebabkan kenderaan itu terus menggelongsor ke dalam sungai sebaik enjin dihidupkan.

“Situasi itu menimbulkan panik terutamanya suami pemandu wanita terbabit yang berada di luar kenderaan. Abdul Bari Asyraf dan beberapa rakan-rakan lain yang sedang memancing tidak jauh dari lokasi kejadian segera terjun ke dalam sungai untuk menghulurkan bantuan,” katanya.

Mazimi berkata, kese­mua mangsa yang berada di dalam kenderaan tersebut berjaya diselamatkan ke tebing sungai yang jaraknya hampir 50 meter dari lokasi kenderaan itu tenggelam, namun Abdul Bari tidak kelihatan.
Menurut beliau, ada saksi mendakwa ternampak kelibat Abdul Bari  tenggelam timbul di dalam sungai itu sewaktu kejadian sebelum insiden tersebut dimaklumkan kepada pihaknya pada pukul 9.45 malam.

“Operasi mencari dan menyelamat dijalankan de­ngan menggunakan ­te­k­­­­­nik­ selaman dan cari­an di permukaan. Setakat ini mang­sa masih belum ditemui manakala kende­raan pacuan empat roda terlibat dinaikkan ke darat pada pukul 11 pagi tadi (semalam).

“Proses pencarian agak mencabar kerana kejadian berlaku di muara Sungai Terengganu yang berarus deras,” katanya.

Mazimi berkata, lima mangsa yang terselamat iaitu Suryati Rusly, 37; Nordiana Alwani Jaafar, 33; Asmaa Rusly, 23, Syafawani Jaafar, 11, dan Iman Nur Hana Luthfia Mohd Amiruddin, 3, telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk menerima rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

No comments:

Post a Comment