Translate

Saturday, February 2, 2019

Anak derhaka dipenjara 9 bulan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Perbuatan biadab seorang lelaki yang mengugut untuk menumbuk ibu kan­dungnya sendiri hanya kerana permintaannya untuk dimasakkan mi segera tidak ditunaikan akhirnya berbalas apabila dia dihukum penjara sembilan bulan di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd. Shaiful Hazran Razali, 33, selepas lelaki itu membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan untuk mencederakan ibunya, Faridah Ngah, 58, dengan mahu menumbuk wanita itu di rumah mereka  di Kampung Tok Adis, Kuala Ibai di sini pada pukul 12.30 tengah hari, 21 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Mohd. Shaiful Hazran yang baru ba­ngun daripada tidur telah me­minta ibunya untuk memasakkan sebungkus mi segera.

Bagaimanapun, Faridah yang sedang berehat ketika itu tidak dapat memenuhi permintaan tersebut kerana kehabisan stok mi segera di rumah mereka.

Berang permintaannya untuk makan mi segera tidak dipenuhi, Mohd. Shaiful kemudian bertengkar dengan ibunya sebelum mengugut mahu menumbuk mangsa.

Faridah yang ketakutan telah membuat aduan berhubung ugutan anaknya di sebuah balai polis berdekatan sebelum lelaki itu ditahan di rumah mereka pada pukul 3.20 petang, 24 Januari lalu.

Mahkamah mengarahkan tertuduh dihantar ke Penjara Marang dekat sini untuk menjalani hukuman penjara sembilan bulan bermula semalam.

No comments:

Post a Comment