Translate

Sunday, February 10, 2019

Cawangan kelima Football Republic di Kuala Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kedai konsep bola sepak premium, Football Republic milik syarikat pengedar barangan sukan tempatan, Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd. (Al-Ikhsan Sports) membuka cawangan kelimanya di Jalan Sultan Sulaiman di sini.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Al-Ikhsan Sports, Suhairi Hassan berkata, Football Republic yang memfokuskan kepada penawaran barangan bola sepak berkualiti turut memiliki cawangan di Suria KLCC, Kuala Lumpur; Sunway Pyramid, Petaling Jaya; Alor Setar, Kedah dan Kuantan, Pahang.

“Al-Ikhsan Sports yang telah menandatangani kontrak penajaan selama dua tahun bernilai RM1.2 juta dengan Terengganu Football Club (TFC) melihat potensi besar untuk melebarkan sayap ke negeri ini.

“Cawangan baharu Football Republic ini diunjurkan mampu mencapai jualan sekurang-kurangnya RM300,000 sebulan,” katanya di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian cawangan Football Republic yang disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.

Turut hadir lima tonggak TFC iaitu Lee Tuck, Kipre Tchetche, Igor Zonjic, Syamim Yahya dan Ilham Amirullah Razali.

Suhairi berkata, pihaknya turut menyasarkan untuk membuka sekurang-kurangnya tiga lagi cawangan Football Republic pada tahun ini iaitu di Kota Bharu, Kelantan; Johor Bahru, Johor dan Seremban, Negeri Sembilan.

Ujarnya, syarikat menjangkakan Football Republic akan melengkapkan cawangan di setiap negeri di negara ini selewat-lewatnya penghujung tahun 2020.

No comments:

Post a Comment