Translate

Friday, February 22, 2019

Irfan puji mentaliti TFC I

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEBANGKITAN mengagumkan pemain Terengganu Football Club I (TFC I) yang berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit-minit terakhir perlawanan ketika mengikat juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-2 pada aksi ketiga Liga Super kelmarin mendapat pujian pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim.

Irfan berkata, anak-anak buahnya telah mempamerkan mentaliti yang sebenar untuk terus menekan JDT biar pun ke­tinggalan 1-2 sehingga minit ke-89 selain direntap dengan beberapa keputusan kontroversi daripada pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin.

“Walaupun ketinggalan, pemain-pemain masih bersemangat mencari gol penya­maan. Saya puas hati dengan persembahan me­reka biarpun kami hanya mencatat keputusan seri.

“Kami juga sebenarnya hampir menang, namun jaringan (Nasrullah Haniff Johan) pada masa kece­deraan dibatalkan kerana ofsaid.

“Selain itu, saya tidak mahu komen (keputusan kontroversi pengadil) kerana lebih 10,000 penyokong di stadium ini telah menyaksikannya sendiri,” kata Irfan selepas perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Menurut Irfan, kekecewaannya setelah melihat prestasi hambar skuad Penyu itu dalam dua perlawanan dengan PKNS FC dan Pahang sebelum ini telah ditebus oleh pemainnya dengan bermain bermati-matian pada pertemuan dengan JDT malam kelmarin.

“Begitu pun, perhatian perlu diberikan terhadap barisan tengah yang agak longgar pada babak kedua. Kita terlalu memberi ruang sehingga JDT dapat menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua,” katanya lagi.

Pada aksi tersebut, TFC I terlebih dahulu di depan hasil jaringan penyerang, Mohd. Khairul Izuan Rosli pada minit ke-7 namun JDT bangkit menerusi gol Safawi Rasid dan Diago Luis Santo pada minit ke-62 dan 67 sebelum Kamal Azizi Zabri menyamakan kedudukan buat TFC I pada minit ke-89.

No comments:

Post a Comment