Translate

Saturday, February 23, 2019

Jualan My Best Buy di pejabat Fama cawangan setiap bulan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jualan My Best Buy anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menawarkan barangan keperluan pada harga lebih murah daripada pasaran akan diadakan setiap bulan di pekarangan pejabat cawangan agensi itu di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pe­ngarah (Operasi) FAMA, Datuk Nazipah Jamaluddin berkata, Jualan My Best Buy yang bertujuan membantu warga bandar menangani kenaikan kos sara hidup itu akan diadakan pada hujung minggu keempat setiap bulan.

Jualan My Best Buy memberi penekanan kepada jualan produk industri kecil dan sederhana, barangan segera dan kawalan dengan harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada pasaran.

“Jualan My Best Buy dahulunya dilaksanakan di pasar tani dan pasar pagi terpilih di seluruh negara.

“Pada tahun ini, kita mengubah pendekatan dengan menganjurkannya di pekarangan pejabat cawangan FAMA di seluruh negara agar lebih ekonomik selain mendekatkan pelanggan dengan agensi kami,” katanya selepas merasmikan Jualan My Best Buy di pekarangan pejabat FAMA Terengganu di sini semalam.

Nazipah berkata, sam­butan diterima daripada pengguna amat mengga­lakkan dengan kehadiran kira-kira 2.7 juta orang dan nilai jualan hampir RM48.3 juta sejak tahun 2014.

Jelasnya, FAMA me­nyasar untuk mencapai nilai jualan mencecah le­bih RM16 juta dengan kehadiran lebih sejuta pengguna pada tahun ini.

“Selain di peringkat cawangan, FAMA juga akan menganjurkan Jualan My Best Buy mengikut tema negeri yang berbeza di ibu pejabat agensi kami di Bandar Baru Selayang, Selangor pada setiap bulan,” katanya.

No comments:

Post a Comment