Translate

Thursday, February 14, 2019

TFC I waspada ancaman skuad Tok Gajah

SKUAD Terengganu Football Club I (TFC I) akan bertandang ke Stadium Darul Makmur, Kuantan esok bagi aksi kedua Liga Super menentang pendahulu liga, Pahang dengan penuh waspada.

Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim berkata, berasaskan analisis aksi pertama Pahang menentang Kuala Lumpur pada minggu lalu, skuad Tok Gajah musim ini boleh dirumuskan sebagai pasukan yang mantap dan sukar untuk ditewaskan.

"Skuad kendalian Dollah Salleh itu boleh dikatakan lengkap dan kukuh di setiap posisi terutama di bahagian tengah yang dikemudi Muhammadou Sumareh.

"Mereka juga mempunyai pemain-pemain import yang berkuatiti tinggi termasuk Ze Love dan Saddil Ramdani yang dilihat amat menyerlah pada aksi pertama Liga Super minggu lalu," katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Irfan Bakti berkata, beliau juga mengagumi ketajaman Dickson Nwakaeme yang masih mampu meledak dua gol pada aksi pertama kembali ke pangkuan Pahang musim ini walaupun dilihat sudah tidak selincah dahulu kerana faktor usia.

Sungguh begitu, jurulatih berpengalaman itu menegaskan TFC I turun ke Kuantan bukan untuk menjadi mangsa belasahan dan bakal bermain bersungguh-sungguh bagi menumbangkan skuad Tok Gajah di hadapan penyokong mereka sendiri.

"Kita telah mengenalpasti corak permainan Pahang dan telah mengatur strategi dan taktikal bukan sahaja untuk mengekang malah memerangkap pasukan berkenaan," katanya.

No comments:

Post a Comment