Translate

Monday, February 4, 2019

Awang Hitam tukar taktik tipu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sindiket penipuan Love Scam kini beralih arah apabila menjadikan modal untuk mendalami agama Islam bagi memikat gadis sebelum memperdaya golongan Hawa menye­rahkan sejumlah wang untuk meraih keuntungan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail (gambar kecil) berkata, umpan terbaharu itu ternyata berkesan apabila sindiket itu berjaya mengaut keuntungan hampir RM12 juta berdasarkan beberapa laporan yang dibuat mangsa kepada pihaknya sepanjang tahun lalu.

Katanya, modus operandi sindiket ialah mereka akan berpura-pura kononnya berminat untuk memeluk agama Islam sebagai strategi bagi mendekati mangsa-mangsa yang kebanyakan terdiri daripada wanita menerusi media sosial.

“Mangsa akan dipujuk oleh anggota sindiket tersebut agar menghulurkan bantuan kewa­ngan kononnya bagi urusan mendalami agama Islam. Mereka akhirnya menyedari tertipu selepas transaksi wang dipindahkan kepada penjenayah berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Aidi menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Ketua Jabatan Pematuhan Standard dan Integriti negeri serta Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini semalam.

Menurut Aidi, siasatan mendapati taktik terbaharu itu digunakan selepas modus operasi lama iaitu menggoda mangsa dalam kalangan wanita ­ke­su­­nyi­an didapati sudah tidak begitu berkesan kerana sudah diketahui umum.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, sindiket terbabit yang biasanya didalangi warga ­Afrika telah menukar pendekatan de­ngan menggunakan agama Islam sebagai umpan untuk me­merangkap mangsa terutama di negeri ini.

“Selain taktik berkenaan, sindiket sama menggunakan modus operandi memohon bantuan mangsa untuk menguruskan harta atau tanah mereka yang kononnya terdapat di ­negara ini.

“Mereka mengumpan mangsa dengan tawaran sagu hati yang lumayan atas bantuan terbabit sehingga mendorong mangsa terpedaya lalu menyerahkan wang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Aidi berkata, kes penipuan se­perti Love Scam, Macau Scam dan pembelian barang ­menerusi laman web tidak wujud (e’Belian) meningkat kepada 545 kes pada tahun lalu berbanding 478 kes pada tahun 2017.

Begitu pun, jumlah kerugian atas jenayah komersial ber­kenaan telah berjaya dikurangkan kepada RM20 juta pada 2018 berbanding RM24 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

No comments:

Post a Comment