Translate

Tuesday, February 26, 2019

Ahmad Razif beri laluan kepada Ahmad sebagai Ketua Pembangkang

 MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mengesahkan beliau telah meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu menjelaskan, beliau mengosongkan jawatan itu bagi memberi laluan kepada ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said untuk menjadi Ketua Pembangkang DUN negeri yang baharu.

"Datuk Seri Ahmad telah dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu baru-baru ini.

"Mengikut tradisi, Pengerusi Perhubungan UMNO negeri yang patut mengisi jawatan itu (Ketua Pembangkang DUN Terengganu). Oleh itu saya secara sukarela memberi laluan kepada beliau (Ahmad)," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui selepas menghadiri majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah ADUN Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari  ini.

Ahmad Razif berkata, beliau yakin ketokohan dan kepetahan Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berhujah dapat memberi dimensi baharu BN sebagai pembangkang di DUN Terengganu.


Ujarnya walaupun bukan lagi menjadi Ketua Pembangkang, beliau akan tetap memainkan peranan berkesan sebagai ADUN BN pada setiap persidangan DUN Terengganu demi kebajikan rakyat diwakilinya dan kelangsungan UMNO. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment