Translate

Wednesday, February 27, 2019

Contohi keberanian wira penyelamat

INSIDEN kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Storm terjunam ke dalam Sungai Terengganu berhampiran Pulau Warisan, Kuala Terengganu pada 8 Feb­ruari lalu masih diingati.

Ia kisah enam pemuda berani yang sanggup mempertaruh nyawa de­ngan terjun ke dalam sungai berarus deras berkenaan demi menyelamatkan lima sekeluarga yang terperangkap di dalam kenderaan pikap itu.

Nyawa lima sekeluarga dari Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu itu bagai telur di hujung tanduk apabila kenderaan pikap dinaiki yang diletakkan dalam ke­a­daan mengundur telah meluncur laju ke dalam Sungai Terengganu akibat kesilapan meletakkan posisi gear. Mujurlah mereka dapat diselamatkan oleh enam pemuda berkenaan.

Begitupun, malang tidak berbau apabila salah seorang daripada penyelamat itu iaitu Abdul Bari Asyraf Mohd., 31, terkorban akibat lemas ekoran mengalami kejang otot. Mayatnya ditemui terapung berhampiran muara Sungai Terengganu iaitu kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia hilang.

Kemurnian hati dan keberanian Allahyarham Abdul Bari dan lima yang lain secara sukarela me­lakukan kerja-kerja penyelamatan itu mewajarkan mereka dinobatkan sebagai Wira Darul Iman oleh kerajaan negeri Terengganu pada Jumaat lalu. Abdul Bari yang juga jurukimpal dan lima yang lain iaitu Saiful Anuar Mohd., 37, Muhammad Asadullah Jamaluddin, 37, Mohd. Amirol Hafizol Zukafli, 29, Omar Abdul Aziz Othman, 27, dan Mohd. Shahrul Mizan Harun, 33, turut menerima penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, tindakan spontan keenam-enam Wira Darul Iman tersebut sewaktu menyaksikan insiden ber­kenaan menunjukkan budaya kesukarelawan masih subur dalam masyarakat negara ini. Ujar beliau, sikap mulia mereka yang menghulurkan bantuan awal sebelum kehadiran pasukan penyelamat seperti JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan PDRM patut menjadi contoh teladan kepada orang lain.

“Setiap kali berlaku kes kecemasan, peranan komuniti terdekat yang menyaksikan kejadian amat penting untuk memberikan bantuan awal. Kadangkala pasukan penyelamat seperti JBPM memerlukan masa akibat kekangan tersebut seperti faktor jarak dan kesesakan lalu lintas untuk tiba ke lokasi kejadian.

“Bantuan awal daripada komuniti setempat yang mahir juga mampu memastikan kejayaan usaha penyelamatan kerana dalam situasi kecemasan, isu masa amat memainkan peranan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Azlimin berkata, sebilangan saksi kejadian yang terdiri daripada peniaga di Pulau Warisan terbabit turut menyumbang kepada usaha penyelamatan tersebut dengan segera mencampakkan beberapa tong air berukuran lebih kurang 50 liter setiap satu ke dalam sungai berkenaan.

Ujar beliau, tong air itu telah dijadikan pelampung untuk membawa mangsa-mangsa ke tebing su­ngai yang terletak lebih 50 meter dari lokasi kenderaan pikap dinaiki mereka termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun tersebut tenggelam.

“Tiga daripada enam penyelamat terbabit iaitu Saiful Anuar, Mohd. Amirol Hafizol dan Mohd. Shahrul Mizan merupakan peniaga di lokasi tumpuan pelancong beriadah itu.

“Penglibatan tiga peniaga ber­kenaan dalam kerja-kerja penyelamatan itu juga membuktikan peranan penting golongan itu dalam melaksanakan bantuan awal pada situasi kecemasan di kawasan tumpuan ramai seperti Pulau Warisan,” katanya.

Azlimin berkata, golongan peniaga di lokasi tumpuan pelancong terutama pada waktu puncak berpotensi tinggi untuk menjadi alternatif memberi bantuan awal sebelum kehadiran pasukan penyelamat.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, keberanian enam penyelamat dalam insiden Sungai Terengganu itu harus menjadi teladan kepada rakyat negara ini.

“Budaya kesukarelawan yang ditunjukkan mereka dengan mempertaruh nyawa masing-masing sela­yaknya menjadi inspirasi kepada masyarakat dan anggota polis sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Aidi berkata, insiden itu juga harus memberi iktibar kepada pemandu lain agar berhati-hati dalam pemanduan terutama berhampiran lokasi berisiko seperti tebing sungai dan laluan curam dan gaung.

Dalam pada itu, pengendali portal automotif dan pemanduan selamat, Gan Yong Li berkata, ketenang­an dan kemahiran berenang amat penting dalam situasi kemalangan yang menyebabkan kenderaan terjunam ke kawasan air seperti sungai.

“Dalam kes di Sungai Terengganu baru-baru ini, tindakan Abdul Bari meminta kesemua mangsa keluar menerusi tingkap kenderaan adalah tepat.

“Ini kerana sewaktu karam ke dalam air, pintu kenderaan amat sukar untuk dibuka terutama oleh kudrat mangsa yang kesemuanya perempuan di­sebabkan tekanan air seberat kira-kira 386 kilogram sedang menghimpitnya,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment