Translate

Tuesday, February 5, 2019

Bomba Terengganu keluar 45 notis arahan selenggara

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Sebanyak 45 pengusaha premis perniagaan termasuk pasar raya di Terengganu yang didapati mengabaikan prosedur keselamatan kebakaran telah diberi notis peringatan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu sejak pertengahan bulan ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, antara kesalahan yang telah dikenalpasti ialah laluan keluar ke pintu kecemasan dihadang atau terlindung hingga dikhuatiri boleh menyekat pergerakan pantas orang ramai bagi menyelamatkan diri sekiranya berlaku kebakaran.

Beliau berkata, sebahagian premis yang dikenakan notis itu juga didapati telah menyusun barangan perniagaan terlalu tinggi sehingga ke siling bumbung hingga dibimbangi mampu memudahkan proses api merebak cepat jika terjadinya kebakaran.

"Ada juga kes yang agak serius dan kritikal seperti sistem semburan air automatik berperanan sebagai perlindungan dalaman memadam api kebakaran gagal berfungsi. Notis arahan menyelenggara semula berkaitan aspek keselamatan tersebut telah dikeluarkan mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988.


"Denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun boleh dikenakan. Begitu pun, pengeluran notis itu bukanlah bersifat menghukum tetapi sebagai mendidik pemilik premis perniagaan terbabit agar menambah baik aspek keselamatan pencegahan kebakaran," katanya selepas mengetuai pemeriksaan premis di sebuah pasar raya di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment