Translate

Saturday, February 16, 2019

Menangis kerbau jantan disembelih

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Persahabatan antara Muhammad Syukur Khamis dengan kerbau jantan kesayangan­nya, Tokol sejak dua tahun lalu sampai jua ke penghujung apabila haiwan peliharaan bapanya itu disembelih untuk dijadikan lauk kenduri kahwin buat dua abangnya di Kampung Banggol Katong, Serada di sini semalam.

Muhammad Syukur, 14, ha­nya mampu menangis ketika membawa kerbau seberat 300 kilogram itu menaiki lori untuk dibawa ke pusat sembelihan di Wakaf Tapai, Marang pada pukul 6.30 petang kelmarin.

Remaja yang mendapat jolokan ‘Mowgli Asia’ itu memberi­tahu, dia dimaklumkan mengenai perkara itu oleh bapanya, Khamis Jusoh, 64, pada bulan lalu untuk kenduri kahwin dua abangnya, Muhamad Kamil, 30, dan Muhamad Alias, 29.

“Berat rasa hati hendak berpisah namun saya reda apabila ayah beritahu masa Tokol sudah tiba kerana sudah berusia empat tahun dan matang,” ceritanya sambil menangis ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Katong di sini kelmarin.

Anak bongsu daripada lapan beradik itu memberitahu, dia mula berkawan rapat dengan Tokol setelah seekor lagi kerbau kesayangannya bernama Awang terpaksa dijual untuk membiayai kos perubatan ayahnya yang menghidap diabetes.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin itu berkata, nama Tokol diambil kerana saiz badan kerbau itu yang besar sejak lahir. Tokol juga se­ring menemaninya hampir setiap sesi fotografi.

“Sebelum Tokol menaiki lori, saya beri dia makan dan belai badan dan kepalanya sebagai tanda perpisahan. Saya juga ambil gambarnya puas-puas untuk mengubat rindu nanti.

“Ayah juga berjanji untuk menggantikan Tokol dengan seekor kerbau lain yang saya akan namakan Awang sebagai kawan baharu saya,” katanya.

Sementara itu, Khamis berkata, enam kawah gulai daging Tokol dihidangkan untuk kira-kira 3,000 jemputan kenduri menyambut menantu anak pertama, Muhamad Kamil dengan pasangannya, Norbaizuri Ramli dan anak keduanya Muhamad Alias dan isteri, Nurul Aina Che Jusoh.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan Muhammad Syukur menjadi terkenal sekelip mata selepas gambarnya bermesra dengan sekumpulan kerbau peliharaan memenangi anugerah ‘Street/People Photographer of The Year Asian Geographic - Image of Asia 2018’ dan ‘Remarkable Award’ di Siena International Photography Award 2018, Itali baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment